Thursday, January 28, 2010

Lelaki Ini...

Usai solat Subuh pagi itu, aku langsungi dengan bacaan Yassin untuk disedekahi kepada ummi dan daddy, si dia dan seluruh umat Mukmin. Sudah lama sebenarnya aku tidak mengalun suara melontar kalimah - kalimah suci daripada kitab Allah swt itu. Aku alpa dengan duniawi.

Malam sebelumnya pula, dalam sujud terakhir solat Isya' berjemaah aku memohon seribu kerahmatan kepada ummi dan daddy.

Entah mengapa kerinduan kepada wajah - wajah yang kian dimamah usia itu seakan menggigit-gigit ulu hati. Padahal baru sehari sebelumnya aku berbual dengan ummi di telefon, bertanya khabar dan berbual tentang hidup. Kudengar sayup di belakang melatari suara ummi, daddy sedang bertanya itu dan ini.

Lengkap menyarung uniform kerja, aku ke dapur untuk bersarapan seperti biasa.Belum sempat minuman rasmi kopi panas mencecah pinggir bibir, kedengaran deringan kuat mengalun lagu kaum penjajah yang suka benar kita banga – banggakan dari dalam bilik. Hati berdetik ragu. Kaki kuhayun laju dan tangan pantas mencapai telefon bimbit model zaman Jepun yang entah esok atau lusa boleh berfungsi atau tidak.

“Daddy masuk hospital awal pagi tadi.Cepat balik, ummi risau sangat”, bagai halilintar cemas suara ummi menusuk jantungku.

****

Dua jam kemudian, aku sudah tercegat di hospital daerah – jauh dari hiruk pikuk kota metropolis Kuala Lumpur.Sepanjang perjalanan hati ini tak putus – putus berdoa agar segalanya dilindungi Tuhan dan tiada yang buruk berlaku.

Sekujur tubuh longlai terkujur di atas katil hospital dibentangi cadar kesuraman dan beralaskan bantal kesakitan. Doktor dan jururawat sedang cuba melakukan yang terbaik untuk memulihkan keadaannya. Wayar dan tiub bantuan berselirat melilit tubuh daddy yang separa sedar. Hancur luluh hatiku melihat daddy yang selalunya ceria, kini lemah pucat lesi mengerang menahan ujian Allah.

Air mata perlahan menghujani pipi. Sayu.Resah.Gelisah.

****

Terlalu banyak kenangan indah yang aku lakari bersama seorang lelaki cekal dan berhati waja ini. Biar raut wajah dan getar suaranya lembut kala bertutur, namun tersemat ketegasan dan kasih sayang tak berpenghujung kepada keluarga dan zuriat-zuriatnya. Tak terhitung pengorbanan. Tak terbilang bakti dan jasanya.Hanya aku dan kami sekeluarga yang mengerti ini semua.

Tiga hari berlalu…..Daddy masih menjalani pemeriksaan dan menghuni wad Kenanga 8 Aras 6 itu.

****

Aku tak tenteram. Jiwa gundah tak terdiam. Resah dan gulana kian mencengkam.

Thursday, January 21, 2010

Yang Terpanggil...


Sekadar Gambar Hiasan

Tahun 2010 adalah satu HIJRAH dalam hidup aku. Segalanya baru dan bersih....macam kain kafan putih yang membaluti tubuh pucat lesi, sejuk beku tak bernadi kala sakaratulmaut menjemput roh ke alam baru.

Lakarannya dimulai dengan anekdot indah sebuah percintaan berlatar belakang rona krim dan merah jambu pucat lantas disusuli tempiasan warna hitam putih bertatah gemilau cahaya permata.Alangkah bahagia...


Tahun 2009 menyapu bersih rentetan peristiwa derita dan ceria yang silih berganti. Penuh drama dan mengajar aku pelbagai pengertian hidup yang tak mungkin dapat dipelajari dari kelas Ekonomi tingkatan 4 Perdagangan 1 di sekolah kampungku dulu. Atau yang tak mungkin dapat dihisab daripada kelas Fizik tingkatan 6 Gamma yang tak sampai sebulan aku menetapinya lantaran kejayaanku lari dari asrama seterusnya diterima masuk ke universiti 9 tahun lalu.

Pastinnya...yang gembira akan disemat indah dalam bingkisan album kehidupan, namun yang gelap itu pasti lebih keras kesannya dalam kotak hati lantas bermukim gerhana di sanubari.

Paling ekstrem dan kasar bagai neraka adalah sebuah pencabulan hubungan yang konon dipanggil sahabat.Dihina bagai tahi, dimaki macam sampah dan dibuang lebih jijik daripada bayi malang yang kejadiannya di luar satu ikatan suci bergelar pernikahan. Yang dulu kononnya menabur janji sehidup semati macam adik abang, kakak dan sepupu.

Alasannya keji lagi hitam. Puncanya langsung tak bermodal.Pencabulannya lebih busuk daripada bangkai tak berkepala.Hanya kerana yang hatinya gelap pekat dan keras itu hadir dalam bilangan yang ramai dan lontaran suara majoriti melawan satu raungan jiwa tak berbela..maka yang seorang itu dicampak jauh dalam telaga buta tak bermata.

Tiada penjelasan, tiada lagi jalinan persahabatan, hilang terus silaturrahim...

Penganiyaan tak berbela ini mengajarku satu perkara. Ia menusuk masuk dalam jiwa yang pernah lembut namun sudah keras dan kasar dek perhitungan salah insan-insan yang pernah bergelar teman tersebut.

Ajarannya adalah tiada yang lebih murni dan ikhlas kasih sayang terhadap kita selain ibu dan bapa, adik dan kakak, suami dan isteri - yang duduknya jiwa-jiwa ini dalam satu lengkok rantaian bergelar keluarga dan darah daging. Ia juga melakar pekat dalam buku hidup yang dalam imaginasiku berlorek rona putih berenda merah jambu pucat (ya...jiwaku sangat lembut persis seorang wanita)bahawasanya kepercayaan itu usah ditabur kepada sembarangan orang walau semanis mana kata-kata dan janji ditabur membeli jiwa.

Usah..Jangan sesekali...kerna kepercayaan inilah yang bakal meragut sisi bahagia dalam hidup kita dan akhirnya menjadi sekam berbara yang entah bila akan padam.


Kepada yang itu...KARMA mengejarmu dalam gelap pekat malam.

Kepada Yang Maha Berkuasa...Alhamdulillah atas kebenaran yang Kau zahirkan kepadaku sebelum jalinan maut merenggut tubuh kejangku. Astargfirullah...

Mungkin...



Kadangkala kita tak bisa kecapi apa yang kita selalu idamkan
kadangkala kita tak kan pernah dapat membolot apa yang kita impikan
dan kadangkala kita tak mungkin menggondol apa yang kita fikir kemuncak kebahagiaan dalam hidup ini..

Yang pasti Allah itu Maha Berkuasa
Sayang akan hamba-Nya yang hina dina sepertiku
Namun Dia ingin menguji jauh mana perginya keimananku
yang sering goyah dek gelodak duniawi..

Mungkin...

Arah tujuku agak ombang ambing kala ini
tak bisa aku kemudi sampan usang
melayari ranjau dan onak lautan ganas yang baru ku dayungi ini

Mungkin...

Kail ku tak sampai sejengkal
Tapi gelodak jiwaku tamak dan gelojoh ingin menjerat ikan di samudera luas

Aku..

Jauh ombang-ambing
Terus berdoa saban waktu dahiku mencecah sejadah usang
Minta dan pinta sehinanya
Satu pertolongan dan keajaiban

Pinta resah dan gelisah ini pudar terus
Dan cahaya dari langit ufuk Timur
Membawa satu khabar bahagia..