
sekadar gambar hiasan
Saya buntu. Beberapa naskah buku – buku terjemahan bidang yang “baru” saya ceburi berselerakan di atas meja kantor. Telah beberapa kali cuba saya tafsir dan memerah idea untuk strategi terbaru yang mungkin mendatangkan sesuatu. Paling tidak hasil yang sebesar hama juga sudah cukup memberi suntikan adrenalin memutasikan buah fikiran. Beberapa jam berlalu, saya masih hampa. Layar komputer rimba dihiasi lembaran demi lembaran laman sesawang topic berkaitan.
Saya cuba amati, cuba analisa dan sekurang – kurangnya cuba memahami. Malangnya saya masih gagal memanifestasikan waima satu idea pun.
Kenapa dengan saya? Konsentrasi saya kian pudar. Seperti ada satu bayangan lain yang berlegar-legar di kotak fikiran ini seakan menyelaputi sisi pemikiran saya. Jika saya amati secara harfiahnya, mungkin ada beberapa perkara yang semenjak dua menjak ini bertali – arus dipaparkan dalam layar kotak fikiran saya.
Antara lain, keinginan saya untuk bersungguh – sungguh melangsingkan badan kembali seperti dahulu. Justeru si dia memberi keizinan untuk saya mengikuti satu program kesihatan & pelangsingan di sebuah pusat kecergasan terkemuka (jika saya sebut namanya, pasti semua orang mengangguk tahu). Saya sedari, susuk tubuh ini lama kelamaan akan dimamah usia lantas kita tidak lagi akan gebu menggiurkan seperti usia remaja dahulu. Tetapi sekurang – kurangnya biarlah kesihatan dan tahap kecergasan itu dijaga semenjak usia muda.
Sejujurnya saya agak tertekan dengan perubahan bentuk fizikal yang semakin bertambah sejak akhir-akhir ini. Saya hampir tidak boleh menerima kenyataan bahawa saya kini tidak lagi mampu menyarung jeans rona biru tua kesayangan saya, yang kini tersidai layu di dalam gobok usang menanti keajaiban untuk disarungkan semula. How I wish 2 months would be fast moving behind…
Petang nanti, rejim kecergasan saya bakal diteruskan lagi. Kali ini saya berazam hayunan kaki dan stamina lebih mantap berbanding minggu lalu. Walaupun baru 2 jam menghabiskan waktu di pusat kecergasan tersebut kesannya boleh tahan ketara (pada saya, mungkin ia berbeza pasa orang lain). Pulang ke rumah, usai rejim kesihatan saya, si dia menegur nakal. Katanya saya nampak lebih anjal di bahagian tertentu. Wahhh…tak saya sangka begitu cepat resultnya!
Dalam pada saya begitu berkobar – kobar mengejar kemahuan mendapatkan susuk idaman, terlintas dalam fikiran saya bisikan – bisikan nakal yang bisa membuat saya berfikir dua kali. Entahlah….saya begitu ingin sekali meluahkannya di dalam picisan kata – kata ini. Namun dalam waktu sama saya tidak mahu dilabel pentingkan diri dan uber secular. Saya begitu memerlukan satu ruang kosong untuk saya fikirkan apakah tindakan saya kelak betul ataupun tidak. Adakah wajar saya berniat begini? Jahilkah saya atas kehendak sendiri? Adakah saya sudah benar - benar bersedia untuk satu perubahan fizikal yang satu lagi itu? Bagaimana saya harus menghadapinya kelak? Mampukah saya?
Buntu dan kusut. Saya pohon satu petunjuk dari Yang Esa agar kekalutan rasa ini segera dirungkai dengan satu sinar kebahagiaan…